Lim Kok Wing Meninggal Dunia Pada Usia 75 Tahun

Lim Kok Wing Meninggal Dunia Pada Usia 75 Tahun

0
SHARE
Lim Kok Wing turut dikenali sebagai tokoh akademik yang disegani di dalam dan luar negara...

KUALA LUMPUR – Presiden dan pengasas LimKokWing University of Creative Technology, Tan Sri Lim Kok Wing dilaporkan meninggal dunia pada usia 75 tahun pada Selasa.

Perkara ini disahkan oleh LimKokWing University of Creative Technology dalam satu kenyataan hari ini.

“Dengan rasa sedih yang mendalam, kami ingin memaklumkan pemergian Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Sri Paduka Dr Lim Kok Wing, Presiden Pengasas kami…

“Seorang yang berwawasan, karier Tan Sri sinonim dengan kreativiti dan beliau membantu membangunkan dan memperkasa pendidikan inovatif di peringkat global, khususnya di negara membangun.

“Kami merasa rendah hati dengan ucapan takziah dan sokongan yang diberikan oleh banyak pihak dan kami memohon privasi ketika meratapi pemergian seorang lelaki yang sangat kami banggakan,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu pada minggu lalu, Lim dilaporkan berada dalam keadaan stabil di hospital selepas jatuh di rumahnya.

Lim memulakan kerjayanya sebagai kartunis, menghasilkan strip komik terbitan tempatan pertama di Malaysia dan Singapura, ABU, yang ketika itu diterbitkan dalam surat khabar Eastern Sun.

Beliau kemudiannya beralih ke bidang periklanan, di mana beliau menubuhkan agensinya sendiri, Wings Creative Consultants.

Pada 1991, beliau telah menubuhkan Limkokwing Institute of Creative Technology yang pertama.

Pada 2002, institusi berkenaan menjadi kolej swasta pertama diiktiraf sebagai kolej universiti, dan kemudian ditukar nama menjadi Limkokwing University of Creative Technology (LUCT).